Keadaan kereta Proton Persona milik mangsa yang rosak teruk selepas terbabas. FOTO Ihsan Bomba
Keadaan kereta Proton Persona milik mangsa yang rosak teruk selepas terbabas. FOTO Ihsan Bomba
Meor Riduwan Meor Ahmad dan Zuliaty Zulkiffli


DUA sahabat maut selepas kereta Proton Persona dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok berhampiran Sekolah Menengah Tunku Laksamana, Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, 2 pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa Muhammad Naqib Ahamad, 18, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya, Muhammad Fahmi Othman, 18, yang memandu kereta itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat cedera parah di kepala.

Mayat Muhammad Naqib dihantar ke Jabatan Forensik HSB selepas dikeluarkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja manakala Muhammad Fahmi yang ketika itu masih bernyawa dihantar ke HSB untuk mendapatkan rawatan tetapi disahkan meninggal dunia sejurus selepas itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, kemalangan berlaku membabitkan kereta Proton Persona yang terbabas sendiri.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta itu dari arah pusat bandar menuju ke Kuala Kedah dipercayai hilang kawalan lalu berlanggar dengan besi pembahagi jalan hingga terbabas ke arah bertentangan dan melanggar pokok di kiri jalan.

"Kemalangan tidak membabitkan kenderaan lain dan hasil siasatan mendapati segala kesan kemalangan dan kerosakan dipercayai dipandu laju namun tiada apa-apa kesan brek ditemui di atas permukaan jalan tetapi kereta itu rosak teruk di bahagian hadapan dan sisi sebelah kiri," katanya.

Katanya, jenazah kedua-dua mangsa dibawa Jabatan Forensik HSB untuk dibedah siasat bagi mendapatkan punca kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 1:03 PM