Mohd Hider (depan) pada majlis penyerahan 1,700 pek cenderahati hari raya kepada penumpang KTMB di Stesen Sentral, hari ini. FOTO Halim Salleh
Rizanizam Abdul Hamid

SEBANYAK 140,943 daripada 201,020 tiket keretapi bagi perkhidmatan KTM Intercity dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk perjalanan sempena Aidilfitri sudah dijual sejak 18 Jun hingga 3 Julai ini.

Pengurus Besar Perolehan (Menampung Tugas Presiden) KTMB Mohd Hider Yusoff berkata, ia merangkumi 72 peratus atau 128,362 bagi tiket ETS yang menawarkan 177,540 tempat duduk.

"Manakala bagi tiket KTM Intercity yang menyediakan 23,480 tiket, 53 peratus atau 12,581 daripadanya sudah terjual dalam tempoh sama.

"Ini bermakna bagi kedua-dua jenis perkhidmatan kita berjaya menjual 140,943 tiket daripada201,020 tempat duduk yang disediakan," katanya pada majlis penyerahan 1,700 pek cenderahati hari raya kepada penumpang KTMB di Stesen Sentral, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Hider berkata, KTMB melalui perkhidmatan KTM Komuter akan mengadakan promosi raya Kad Komuter Link secara percuma sebanyak 2,000 keping bermula hari ini (22 Jun) hingga Sabtu ini di dua stesen keretapi sahaja iaitu Stesen Sentral Kuala Lumpur dan Stesen Bandar Tasik Selatan.

"Pada tarikh itu, orang ramai hanya perlu membayar RM10 sahaja untuk nilai simpan di dalam kad berkenaan dan kad adalah percuma.

"Tanpa promosi ini, Kad Komuter Link dijual pada harga RM10 tidak termasuk nilai simpan di dalam kad," katanya.

Selain itu katanya, KTMB juga akan bekerjasama dengan Grab melalui kod promo GRABRAYAKTM untuk mendapat diskaun tambang sebanyak RM6 bermula semalam (21 Jun) hingga 28 Jun ini.

Jelasnya, ini akan memberi nilai tambah kepada pengguna perkhidmatan KTM Komuter dari atau ke 16 stesen terpilih antaranya Rawang, Sungai Buloh, Batu Caves, KL Sentral, Shah Alam, Klang, Batu Tiga, Petaling, Kajang, Seri Setia dan Pelabuhan Klang.

"Pada penumpang yang menggunakan perkhidmatan Grab akan menerima diskaun sebanyak RM6 tetapi terhad kepada dua kali penggunaan sahaja," katanya.

Pada program berkenaan, KTMB turut meraikan petugas media pada majlis berbuka puasa sebagai menghargai sumbangan dan sokongan agensi media dalam mempormosikan produk dan perkhidmatan ditawarkan KTMB.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 8:18 PM