Kamera ICOPS (intelligent compound online payment system) pada kenderaan peronda yang mampu mengimbas dan mengesan maklumat kenderaan melalui pengkalan data Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memeriksa rekod kesalahan pemandu yang digunakan pada Ops Selamat Peringkat Negeri Perlis di Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis. FOTO HAFIZUDIN MOHD SAFAR
Hafizudin Mohd Safar


HANYA dalam tempoh dua jam 30 minit, 278 saman dikeluarkan polis terhadap pengguna jalan raya di Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis, Arau menerusi Ops Selamat 2017 hari ini.

Ketua Penolong Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Superintendan Shahrum Hashim berkata, majoriti kesalahan adalah memandu melebihi had laju selain kesalahan lain membabitkan kereta, kenderaan komersial dan motosikal.

"Berdasarkan statistik operasi yang bermula jam 11 pagi ini yang dilaksanakan di Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis ternyata ramai pengguna jalan raya kurang mengendahkan soal had laju yang bertujuan untuk memastikan pemanduan yang selamat.

"Justeru itu, saya harapkan semua pengguna jalan raya tidak mengira apa jenis kenderaan supaya memandu dengan lebih berhemat dan mematuhi peraturan jalan raya termasuk memandu di bawah had laju dibenarkan agar dapat mengurangkan risiko kemalangan," katanya.

Selain itu, polis juga menggunakan kemudahan aplikasi pintar yang disambungkan terus ke pengkalan data bagi mengesan rekod kesalahan trafik lampau sama ada menggunakan carian nombor plat pendaftaran kenderaan ataupun nombor kad pengenalan pemandu.

Sebanyak 360 kenderaan diperiksa dan 277 saman dikeluarkan untuk kesalahan memandu melebihi had laju sementara satu saman dikenakan terhadap seorang penunggang motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 10:33 PM