Nadzri (dua kiri) dan Azman (tiga kiri) menyampaikan sumbangan kepada pengguna Lebuhraya PLUS sempena Operasi Penguatkuasaan Hari Raya Aidilfitri 2017 di Kawasan Hentian Rehat dan Rawat Tapah arah Utara. FOTO ABDULLAH YUSOF
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

SEBANYAK 2.1 juta kenderaan menggunakan Lebuhraya PLUS semalam dan jumlah itu menunjukkan peningkatan 40 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail berkata, pertambahan trafik itu direkodkan di seluruh lebuh raya PLUS dan mencatatkan peningkatan berbanding tahun lalu sebanyak 1.5 juta kenderaan.

Menurutnya, pertambahan itu menyaksikan berlaku kesesakan di beberapa lokasi terutama di kawasan laluan mendaki serta laluan tiga lorong menajdi dua lorong, namun trafik terkawal dengan kenderaan masih bergerak walaupun perlahan.

"PLUS menjangka trafik akan terus meningkat menjelang hari raya dan tinjauan udara yang dibuat pada hari ini mendapati arah utara mengalami kesesakan di Slim River dan kawasan Tapah, namun keadaan terkawal dan trafik tidak terhenti dengan hanya bergerak perlahan.

"Melalui strategi agih trafik yang dilakukan PLUS berjaya mengurangkan kesesakan termasuk penutupan lorong tambah nilai di semua plaza tol serta jadual cadangan waktu perjalanan (TTA) yang membantu pengguna merancang perjalanan balik kampung mereka," katanya dalam sidang media di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah utara hari ini.

Terdahulu beliau bersama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Seri Nadzri Siron dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir Ismail Md Salleh membuat tinjaun udara di sepanjang lebuh raya PLUS dari Subang Jaya hingga ke Tapah bermula jam 2.30 petang hingga 4 petang hari ini.

Sementara itu, Nadzri berkata, kesesakan dikesan berlaku di laluan mendaki dan laluan tiga lorong menjadi dua lorong yang mungkin berpunca daripada tindakan pemandu yang memperlahankan kenderaan.

"Selain itu, turut dikesan menyumbang kepada keadaan sesak itu adalah kenderaan berat yang dilarang menggunakan lebuh raya ketika cuti musim perayaan.

"Di Tapah hari ini terdapat tiga lori yang ditahan kerana melanggar larangan berkenaan dan JPJ akan lebih giat menjalankan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat ini bagi menjamin kelancaran trafik dan keselamatan pengguna lebuh raya," katanya.

Menurutnya, bedadarkan pemantauan yang dijalankan apa yang positif dikesan pada kali ini adalah tiada lagi pengguna lebuh raya yang memggunakan lorong kecemasan dan itu sedikit sebanyak membantu kepada kelancaran trafik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2017 @ 5:30 PM