SULTAN Sharafuddin bersalaman bersama jemaah setelah menunaikan solat Jumaat sambil diiringi Najib.

Kuala Lumpur: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj semalam berkenan merasmikan penamaan semula Masjid Jamek Kuala Lumpur kepada Masjid Jamek Sultan Abdul Samad.

Keberangkatan tiba baginda di masjid tertua di ibu negara itu jam 12.45 tengah hari, disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tengku Adnan dalam kenyataan berkata, penamaan semula masjid yang dibina pada 1909 dan satu daripada bangunan ikonik di ibu negara itu adalah atas hasrat Sultan Selangor sendiri memandangkan lokasi asal masjid ini adalah di dalam negeri Selangor.

Katanya, langkah ini juga adalah suatu inisiatif dalam memelihara khazanah negara yang juga satu daripada ikon pelancongan negara.

Sultan Selangor disertai Najib dan jemaah yang lain kemudiannya menunaikan solat Jumaat yang diimamkan Jamil Khir.

Ketika membacakan khutbah, Jamil Khir berkata masjid itu yang dibuka pada zaman Sultan Selangor kelima Almarhum Sultan Ala“eddin Suleiman Shah menunjukkan bahawa raja-raja Melayu sememangnya amat menitikberatkan pembangunan Islam khususnya pembinaan masjid.

Pembinaan masjid itu, katanya, meningkatkan lagi kepesatan Kuala Lumpur sebagai ibu negeri Selangor ketika itu dan menjadi mercu tanda perkembangan syiar Islam.

“Ini antara bukti kukuh bahawa peningkatan ekonomi dan kemakmuran berkait rapat dengan pembinaan masjid,” katanya.

Jamil Khir berkata, menurut rekod, masjid itu adalah yang tertua di Kuala Lumpur dan menjadi masjid utama bagi solat Jumaat dan pusat aktiviti Islam sebelum pembinaan Masjid Negara pada 1967.

Tambahnya, masjid di Jalan Tun Perak itu dibina di atas tanah perkuburan Melayu pertama di Kuala Lumpur selepas semua kubur dipindahkan ke tanah perkuburan Islam Jalan Ampang serta Taman Ibu Kota.

Masjid yang terletak di persimpangan Sungai Klang dan Sungai Gombak itu mengambil masa sembilan bulan untuk disiapkan dengan kos RM32,615 dengan dana kerajaan dan sumbangan jemaah. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2017 @ 8:08 AM