MUHAMMAD Sabtu bersama isteri, Datin Seri Wan Safiah Wan Salim berarak pada majlis penyerahan tugas di Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Lapan anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya yang disyaki melakukan peras ugut warga asing selepas di tahan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Selasa lalu, berdepan tindakan digantung tugas.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya siasatan membuktikan mereka terbabit dalam aktiviti salah laku yang jelas melanggar integriti.

Katanya, setakat ini siasatan terhadap semua mereka masih berjalan bagi mengenal pasti dari mana sumber wang itu diperoleh dan berapa ramai antara mereka yang terbabit.

“Dalam serbuan itu, pasukan JIPS turut menemui sejumlah wang yang dipercayai diperoleh daripada cara yang tidak betul disyaki hasil peras ugut warga asing.

“Kami siasat perkara itu dan sekiranya terbukti mereka melakukan kesalahan, kami akan dakwa di mahkamah dan selepas itu baru ambil tindakan menahan (menggantung) tugas.

“Buat masa ini, mereka menjalankan tugas seperti biasa. Kami tunggu dalam masa seminggu dua ini, jika hasil siasatan mendapati mereka terbabit secara serius dalam kegiatan itu, sudah tentu tindakan tatatertib akan diambil,” katanya pada sidang media majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) di Bukit Aman di Mes Pegawai Bukit Aman, di sini, semalam.

Dalam majlis itu, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Amer Awal memulakan tugas sebagai pemangku pengarah jabatan itu menggantikan Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman yang bersara wajib pada 28 Jun ini.

Noor Rashid berkata, salah satu peranan JIPS adalah melakukan pemantauan terhadap semua anggota bagi memastikan mereka mematuhi standard ditetapkan.

“Oleh itu, mana-mana anggota yang didapati melanggar disiplin tidak akan terlepas dari dikenakan tindakan,” katanya.

Dalam serbuan pada jam 11.50 malam, Selasa lalu, sepasukan anggota JIPS Bukit Aman melakukan pemeriksaan di sebuah bilik di IPD Ampang Jaya susulan laporan yang dilakukan seorang lelaki warga Myanmar mendakwa anggota trafik meminta RM1,500 untuk membebaskan rakannya warga Indonesia ditahan kerana dokumen perjalanannya tamat tempoh.

Hasil serbuan itu, polis turut merampas wang tunai RM18,000 disembunyikan di bawah meja selain di dalam poket dan beg salah seorang anggota disyaki hasil pemerasan terhadap warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2017 @ 8:42 AM