Che Hasni memeriksa permit perjalanan bas ekspres sempena Op Raya di Terminal Larkin Sentral, Johor Bahru. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Mary Victoria Dass


OPERASI bersepadu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan kerjasama agensi berkaitan sempena musim perayaan di seluruh negara sejak 12 Jun lalu mengesan 293 kesalahan membabitkan 4,861 kenderaan yang diperiksa.

Ketua Jabatan Penguat Kuasa SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, operasi berkenaan membabitkan pemeriksaan terhadap bas (3,445), teksi (932) dan lori (484).

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, SPAD mendapati 154 kes membabitkan bas.

"Antara kesalahan yang dilakukan termasuk mengenakan tambang berlebihan kepada pengguna, tidak mempunyai dokumen pemandu serta menurunkan penumpang di kawasan yang tidak dibenarkan.

"Manakala bagi teksi sebanyak 37 kesalahan dikenal pasti termasuk tidak memiliki kad pemandu serta gagal mengemukakan permit selain tidak menggunakan meter ketika mengambil penumpang.

"Bagi lori sebanyak 102 kesalahan dikenal pasti termasuk membawa muatan berlebihan dan gagal mengemukakan permit," katanya.

Che Hasni berkata, operasi bersepadu berkenaan akan dijalankan sehingga 2 Julai depan.

Menurutnya, ia membabitkan seramai 380 anggota penguat kuasa SPAD di seluruh negara selain mendapat kerjasama daripada agensi penguatkuasaan lain.

"SPAD sentiasa menjalankan operasi dari semasa ke semasa, bagaimanapun pada musim perayaan ini kita melakukan operasi secara lebih komprehensif kerana sedar perkhidmatan bas ekspres sememangnya menjadi pilihan pengguna ke destinasi masing-masing.

"Malah, hasil pemeriksaan yang dijalankan sehingga semalam juga mendapati tiada sebarang penahanan dilakukan membabitkan pemandu bas yang memandu di bawah pengaruh dadah," katanya di sidang media di Pejabat SPAD Wilayah Selatan di Menara Cyberport di Johor Bahru di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 12:08 PM