Keadaan kereta dinaiki lima mangsa yang hampir keseluruhan remuk akibat terbabas sendiri. FOTO ihsan polis dan bomba
Rosman Shamsudin


LIMA parah termasuk seorang tercampak keluar dari kereta yang terbabas di Kilometer 96, Jalan Ipoh - Kuala Lumpur, berhampiran simpang ke Trolak, Slim River, awal pagi hari ini.

Kejadian 2 pagi itu, semua mangsa yang menaiki Honda Civic berasal dari Langkap, Perak di percayai dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Mangsa, Mujibur Rahman Kamarudin, 21, Muhammad Hafiz Khairudin, 21, Marizwan Rahman Kamarudin, 21, M Hanafi Haiyerulizam, 19, dan Muhammad Nur Syafiq, 22, dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan awal mendapati semasa tiba di tempat kejadian, kenderaan itu dipercayai terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan dan terhenti di lorong kanan laluan bertentangan.

"Akibat kemalangan itu seorang daripada mangsa tercampak keluar dan dua daripada empat mangsa lagi tersepit.

"Kereta dinaiki mangsa hampir keseluruhan remuk dan pintu penumpang sebelah kanan tercabut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

terbabas, tercampak dari kereta

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 1:15 PM