Mayat warga Myanmar yang ditemui terapung di lombong. FOTO ihsan bomba
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


MAYAT lelaki ditemui terapung di sebuah lombong di Persiaran Jelapang Maju 2, Ipoh, hari ini.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu pada 12.50 tengah hari daripada polis.

Menurutnya, polis menghubungi bagi meminta bantuan mengambil mayat.

"Sebaik tiba di lokasi, kerja mengambil mayat dilakukan dan diserah kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, lelaki terbabit dipercayai warga Myanmar berusia 32 tahun.

"Operasi bantuan mengambil mayat diketuai Pegawai Bomba Kanan ll, Idris Ibrahim itu selesai 2.12 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 4:49 PM