Nabihah Kamal


"Jangan 'bash' (hentam) saya, Aiman Tino dan lain-lain lagi penyanyi seperti kami yang baru nak mulakan karier dalam bidang seni. Kecil hati kami jika ada yang kata begitu,” kata penyanyi, Haqiem Rusli,19.

Haqiem berkata demikian sebagai mengulas reaksi segelintir masyarakat yang memandang sinis artis sepertinya serta beberapa penyanyi seangkatan dengannya seperti Wany Hasrita, Aiman Tino, Tajul, Sufian Suhaimi, Irfan Haris, Khai Bahar dan Ismail Izzani dengan melabel mereka artis segera.

Bagaimanapun, dalam pada dipandang sinis, video mereka yang dimuat naik di YouTube menerima jutaan tontonan.

Menurut Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli, berikan mereka semangat untuk menjadi pelapis baru dalam bidang nyanyian.

"Saya sangat menghargai peminat saya yang sudah menonton video klip lagu Tergantung Sepi di YouTube hingga mencecah 8 juta tontonan," katanya yang juga bekas peserta Mentor Milenia 2016 di bawah protege Black.

Wany Hasrita,25, pula berkata, dia bersyukur kehadirannya dalam industri seni diterima ramai.

"Saya selalu buat persembahan dan selepas itu saya lihat tontonan di YouTube akan bertambah. Alhamdulillah peminat menerima lagu saya termasuk lagu baru yang dinyanyikan bersama Tajul bertajuk Di Sana Cinta Di Sini Rindu," katanya.

Menurutnya, dia tidak kisah jika ada yang menganggapnya artis segera.

"Saya tidak kisah dengan pendapat orang lain, apa yang penting adalah untuk memberikan lagu terbaik buat peminat saya," katanya yang akan muncul dengan single baru pada Ogos ini.

Terkini, lagu nyanyian Wany Hasrita bertajuk Menahan Rindu sudah mencecah 17 juta tontonan walaupun ia dimuat naik pada awal tahun ini.

Wany atau nama sebenarnya, Nursyazwany Hasrita Hasbullah mula dikesan bakatnya menerusi aplikasi karaoke Smule apabila satu daripada video nyanyiannya berjudul Tiga Malam nyanyian asal Datuk Siti Nurhaliza tular di alam siber.

Anak jati Kuala Lumpur itu kemudian dilamar oleh syarikat rakaman FMC sebelum melahirkan single ‘meletup’ berjudul Menahan Rindu.

Aiman Tino -Ku Rela Dibenci

37 juta tontonan sejak 1 Jun 2016 hingga 23 Jun 2017.

Haqiem Rusli -Tergantung Sepi

8 juta tontonan sejak 14 April 2017 hingga 23 Jun 2017.

Wany Hasrita - Menahan Rindu

17 juta tontonan sejak 30 Disember 2016 hingga 23 Jun 2017.

Sufian Suhaimi -Terakhir

20 juta tontonan sejak 20 Mei 2016 hingga 23 Jun 2017.

Tajul - Sedalam Rindu

20 juta tontonan sejak 14 Oktober 2016 hingga 23 Jun 2017.

Irfan Haris - Redha

17 juta tontonan sejak 15 Oktober 2016 hingga 23 Jun 2017.

Ismail Izzani -Sabar

10 juta tontonan sejak 24 Februari 2017 hingga 23 Jun 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 10:00 PM
Jutaan tontonan untuk Wany dan Haqiem.