ANGGOTA boma mengeluarkan kaki kanak-kanak yang tersangkut dalam lubang tandas. FOTO ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop


KANAK-KANAK lelaki terpaksa menahan sakit kira-kira sejam selepas kaki kirinya tersangkut dalam lubang tandas di rumahnya di Bandar Seri Behrang, Tanjung Malim, hari ini.

Difahamkan, kaki kanak-kanak berusia lima tahun berkenaan tersangkut dalam lubang tandas cangkung, pada 9 malam tadi.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim berkata, pasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 9.05 malam dan sebaik tiba mendapati kaki kiri kanak-kanak terbabit masih tidak dapat dikeluarkan.

"Bomba terpaksa memecahkan mangkuk tandas berkenaan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kakinya.

"Dia mengalami luka kecil pada kaki dan kemudiannya diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kanak-kanak itu kemudian dihantar ke Hospital Tanjung Malim untuk rawatan lanjut.

"Operasi diketuai Pegawai Bomba Ibrahim Mat Isa itu tamat sepenuhnya pada 10.01 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 12:03 AM