BAPA tiri kepada kanak-kanak yang meninggal dunia dipercayai didera di FELDA Tenang, Hulu Besut, pagi semalam, disahkan positif methaphetamine.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid turut mengesahkan suspek berusia 38 tahun itu turut disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.

Menurutnya, ujian awal saringan air kencing dilakukan terhadapnya sebaik ditahan polis semalam bagi membantu siasatan terhadap kematian anak tirinya itu.

"Sebaik kita menahannya, suspek menjalani ujian awal saringan air kencing dan mendapatinya positif dadah," katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan kematian kanak-kanak berusia lima tahun, Muhammad Hairi Amsyar Abdul Rahman yang dipercayai didera suspek.

Menurut Fazlisyam, hasil pemeriksaan pakar perubatan mendapati punca kematian kanak-kanak terbabit tidak konsisten dengan keterangan yang dibuat oleh suspek.

Sementara itu, keputusan bedah siasat yang dilakukan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu hari ini menunjukkan kematian mangsa berpunca daripada hentakan kuat yang menyebabkan koyakan pada usus kecilnya.

Muhammad Hairi disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Besut selepas dibawa oleh bapa tirinya itu kira-kira jam 3.30 pagi semalam selepas suspek mendakwa kanak-kanak itu tercedera akibat terjatuh dari motosikal ditunggangnya.

Bagaimanapun, alasan suspek diragui pihak hospital yang mendapati terdapat kesan lebam lama dan baru pada tubuh badan mangsa sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 4:12 PM