Leezo Container Melaka yang diusahakan Mohd Nadzuan (gambar kecil) di Seksyen 5, Bandar Bukit Baru.
Mohd Nadzuan Nasir
Mohamad Yatim Latip

Melaka: Dorongan dan nasihat rakan sebaya supaya menceburi bidang perniagaan menjadi pembakar semangat seorang pemuda memulakan perniagaan restoran sehingga dia mampu membuka tiga buah premis perniagaan dalam tempoh setahun.

Mohd Nadzuan Nasir, 29, dari Batu Pahat, Johor berkata, perniagaan diceburi, menjadikannya yakin dan lebih tabah dan terus maju walau berdepan cabaran getir ketika mahu memulakan perniagaan makanan dan minuman.

Dia mengambil keputusan berhenti kerja sebagai Pegawai Tadbir di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, pada akhir 2014 selepas dipengaruhi kejayaan rakan sebaya yang menceburi bidang perniagaan.

Katanya, sejak itu, dia nekad berniaga walaupun sudah mempunyai pekerjaan yang agak selesa dan terjamin.

“Alhamdulillah, sikap berjimat-cermat ketika bekerja saya mampu menabung sejumlah wang simpanan dan disamping mendapatkan pinjaman saya memulakan perniagaan restoran dengan beroperasi di rumah kedai di Batu Pahat pada 24 Januari 2015.

“Selang beberapa bulan kemudian, saya melipatganda usaha dalam bidang perniagaan dan akhirnya 1 November 2015 saya buka sebuah kilang sendiri (Leezo Production Centre) memproses bahan masakan bagi menu restoran seperti kentang goreng dan burger,” katanya ketika ditemui, di sini.

Mohd Nadzuan berkata, dia terus mengembangkan perniagaan restorannya itu dengan membuka satu restoran lagi berkonsepkan kontena dikenali sebagai Leezo Parit Raja, juga di Johor pada 1 Disember 2015.

Bagaimanapun, anak muda yang lahir di Melaka dan dibesarkan di Batu Pahat itu, tetap tidak puas memburu kejayaan dalam perniagaan restoran sebaliknya mengembangkan sayap perniagaan dengan membuka sebuah restoran berkonsep kontena di Melaka pada 7 April 2017.

“Saya bawa konsep restoran kontena ke sini kerana ingin memperkenalkan sesuatu yang baru di negeri ini dan menamakannya Leezo Container Melaka.

“Menu dihidangkan kepada pelanggan di sini semuanya sama seperti restoran di Parit Raja dan Batu Pahat, terdiri daripada makanan ala-Italy, ala-Barat, burger dan makanan tempatan termasuk tomyam,” katanya.

Tambahnya, Leezo Container Melaka menghidangkan lebih 30 menu makanan termasuk minuman panas dan sejuk dengan harga berpatutan serendah RM5.50 hingga RM23.

Katanya, restoran berkonsep kontena dua tingkat itu mempunyai ruang tempahan keluarga selain sesuai untuk majlis kecil seperti sambutan hari jadi.

Terletak di Lot 450/451, Bandar Bukit Baru, Seksyen 5, Leezo Container Melaka beroperasi dari jam 5 petang hingga 1 pagi setiap hari kecuali Isnin.

Mohd Nadzuan berkata, dia mengambil masa empat bulan untuk membuat segala persiapan bagi perniagaan berkenaan sebelum memulakan operasi sepenuhnya di sini dan setakat ini mempunyai seramai 20 pekerja termasuk lima pekerja sambilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 9:29 AM