TIANG besar menghalang pandangan pemandu keluar masuk ke kawasan perumahan di Jalan Prima 1.
myMetro

Puchong: “Boleh dikatakan hampir setiap hari berlaku kemalangan di simpang tiga ini berpunca daripada tiga tiang besar LRT yang menghalang pandangan kenderaan keluar dan masuk simpang,” kata Foo Chan Siew, 35.

Penduduk di Desa Impian, Taman Puchong Prima mendakwa masalah berkenaan sudah berlarutan sejak hampir setahun apabila kemudahan transit aliran ringan (LRT) Puchong Prima siap sepenuhnya.

Menurutnya, sebagai penduduk, dia berterima kasih kerana kemudahan LRT memudahkan mereka, namun pada masa sama bimbang melihat kedudukan tiga tiang LRT di laluan masuk kawasan perumahan di Jalan Prima 1.

“Kedudukan tiang itu sangat berbahaya kerana menghalang pandangan pengguna kenderaan yang ingin memasuki simpang sehingga mengakibatkan kerap berlaku kemalangan.

“Justeru, saya berharap pihak berwajib dapat mencari jalan penyelesaian segera seperti memasang lampu isyarat, bonggol atau cermin cembung jalan bagi memudahkan pengguna yang ingin memasuki simpang melihat kenderaan yang datang dari arah hadapan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Turut hadir, Setiausaha MCA Bahagian Puchong, Liew Yew Fook dan Ketua Biro Aduan Gerakan Selangor Andy Lieng.

Tinjauan Harian Metro mendapati, kedudukan tiga tiang besar berkenaan di kawasan selekoh menutup pandangan pengguna jalan raya dari arah Puchong Perdana yang ingin memasuki simpang ke Jalan Prima 1.

Keadaan itu mengakibatkan pengguna jalan raya terpaksa memasuki sedikit laluan bertentangan untuk memasuki simpang yang meningkatkan risiko kemalangan jika dirempuh kenderaan dari arah hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 9:58 AM