RUMAH mangsa yang berselerak selepas dipecah masuk, semalam.
myMetro

Kota Bharu: Satu keluarga kerugian RM30,000 selepas rumah banglo dua tingkat mereka dipecah masuk dalam kejadian di Jalan Berek 12, di sini, kelmarin.

Kejadian jam 2 petang itu disedari mangsa yang juga seorang guru yang ingin dikenali sebagai Mohamad, 55, selepas dimaklumkan anak lelakinya yang berusia 20-an yang pulang ke rumah selepas bertemu rakannya.

Katanya, ketika itu dia bersama isteri berada di Tanah Merah kerana menghadiri kenduri doa selamat dan rumah terbuka saudara serta rakan.

“Selepas dimaklumkan kejadian itu, saya bergegas pulang ke rumah. Sebaik tiba di rumah, saya terkejut melihat keadaan di dalam rumah bersepah.

“Semua empat bilik dan ruang tamu diselongkar.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pelbagai barangan berharga hilang termasuk dua gelang emas, cincin emas dan berlian serta 29 cincin permata, dua jam tangan berjenama, wang tunai RM750, sebuah komputer riba dan kunci pendua kereta Honda dan BMW.

“Saya anggarkan keseluruhan kerugian berjumlah RM30,000,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Menurutnya, dia percaya penjenayah berkenaan memasuki rumahnya menerusi pintu dapur berikutan terdapat kesan umpilan pada pintu dan kunci mangga yang dirosakkan.

“Susulan kejadian itu saya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Ini adalah kejadian pertama berlaku terhadap kami sekeluarga dan kemungkinan saya akan pasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengelak kejadian sama berulang.

“Kediaman ini memang mempunyai sistem penggera tetapi pada hari kejadian ia tidak diaktifkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, siasatan awal menemui enam kesan cap jari pada almari solek dan pintu almari pakaian

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 10:23 AM