Kenderaan mangsa (gambar kecil) yang terperosok ke dalam belukar. FOTO Ihsan Bomba


LELAKI maut selepas Proton Saga dipandunya terbabas sebelum terjunam ke gaung sedalam kira-kira tujuh meter di Kampung Bukit Kor, Marang, 7.40 pagi tadi.

Mangsa, Mohd Zulfalah Mat Yusof, 33, yang tinggal di Kampung Tapu, Ajil itu maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badannya.

Sepasukan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marang diketuai Pegawai Bomba Mohd Zafelee Mohamad bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

Anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dalam kenderaan terbabit.

Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa yang bekerja di Pasar Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu dalam perjalanan pulang menghantar barangan di Pasar Marang.

Sebaik tiba di tempat kejadian mangsa dikatakan gagal mengawal kenderaannya sebaik tiba di satu selekoh sebelum terjunam ke gaung di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk proses bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 2:47 PM