DUA mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kemalangan berasingan. FOTO ihsan Polis
DUA mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kemalangan berasingan. FOTO ihsan Polis
Mohamad Fahd Rahmat


TIGA penunggang motosikal maut dalam tiga kemalangan berasingan di Batu Pahat, semalam dan hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, penunggang yang maut dikenali sebagai Nur Amirul Jemail, 20; Ahmad Fauzi Ahmad Sazali, 16, Shamsul Azhari Mat Said, 32.

"Kemalangan maut di kilometer (KM)26.5, Jalan Kluang pada 8.10 malam tadi berlaku apabila Nur Amirul menunggang Yamaha 125Z yang dalam perjalanan dari Ayer Hitam menghala ke Parit Raja dan gagal mengelak Honda Civic yang cuba masuk ke jalan utama.

"Kira kira sejam selepas itu di KM 121.5 Jalan Johor Bahru-Melaka, Shamsul Azhari menunggang Yamaha LC135 melanggar belakang Mazda sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan hingga bertembung dengan Perodua Kancil.

"Tidak lama selepas itu, kira kira 1 pagi tadi di KM 126, Jalan Johor Bahru-Melaka, mangsa Ahmad Fauzi menunggang Yamaha 125Z dalam perjalanan dari Bandar Batu Pahat menghala ke Tanjung Laboh.

"Sampai di tempat kejadian mangsa gagal mengelak dan bertembung dengan pacuan empat roda yang cuba masuk ke jalan utama," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seskyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 5:10 PM