Yusmizal Dolah Aling


SYARAT kelulusan Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia wajar dikuatkuasakan kepada semua doktor lantikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tanpa mengira status kontrak atau tetap.

Pengerusi Biro Kesihatan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Dr Mohamad Erhan Rahimi, berkata pihaknya tidak bersetuju dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengenai perkara itu, semalam.

Ini kerana, katanya, perubatan adalah bidang kritikal yang berkait rapat dengan aspek komunikasi interpersonal efektif, bukan semata-mata bergantung pada ketinggian IQ dan ijazah perubatan doktor semata-mata.

Katanya, melalui komunikasi berkesanlah pengamal perubatan dapat memberikan diagnosis yang tepat dan jitu akan kondisi yang dialami oleh pesakit, lantas memberikan rawatan yang bertepatan.

"Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan kita, yang sewajarnya dihormati, didaulatkan dan dijadikan bahasa pengantara dalam pelbagai disiplin ilmu.

“Ini sesuai dengan Artikel 152 Perlembagaan Malaysia. Bahasa jugalah wadah memupuk integrasi nasional dalam konteks masyarakat berbilang kaum yang wujud di negara kita," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, GPMS melihat kelonggaran yang diberikan ini sebagai permulaan kepada kelonggaran lain yang mungkin dipinda pada masa akan datang.

"Namun, GPMS juga mengusulkan supaya prosedur menduduki semula kertas peperiksaan Bahasa Melayu ini dipermudahkan kepada doktor.

“Disarankan supaya diadakan peperiksaan khusus kertas Bahasa Melayu diadakan untuk doktor yang bakal dilantik secara kontrak sebelum mereka diserapkan ke dalam perkhidmatan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 2:45 PM