X
IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia


KANAK-KANAK lelaki dua tahun terperangkap lebih satu jam di dalam kenderaan milik bapanya di Jalan Tepi Sungai, Klang, selepas tertekan punat kunci pintu dalam kenderaan itu.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja, Mohd Fauzi Ramli dalam satu kenyataan, berkata kejadian berlaku pada 11.15 pagi, Ahad.

Katanya, kanak-kanak itu dipercayai memasuki kenderaan yang diletakkan di perkarangan rumah tanpa pengetahuan ibu bapanya.

“Difahamkan ketika kejadian, kedua ibu bapa mangsa sedang bersiap di dalam rumah untuk keluar ke majlis jamuan raya sebelum menyedari anak mereka terperangkap dalam kenderaan.

“Sejurus menyedari kanak-kanak itu terperangkap, bapa mangsa menghubungi bomba dan sepasukan anggota bomba tiba 10 minit kemudian di lokasi kejadian,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, anggota terpaksa memecahkan tingkap sisi bahagian belakang kenderaan menggunakan peralatan khas apabila usaha membuka pintu kenderaan berkenaan gagal.

“Pada mulanya anggota bomba cuba membuka pintu kereta itu namun usaha hampir setengah jam itu gagal dan kanak-kanak itu mula cemas dan menangis.

“Bagi mengelak perkara tidak dingini tingkap kaca kereta terpaksa dipecahkan,” katanya.

Mohd Fauzi berkata, kanak-kanak itu kemudian berjaya dikeluarkan daripada kereta berkenaan, pada 12.52 tengah hari, tanpa sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 11:15 PM