Che Wan Haziq Haikal Che Wan Othman, 14, dikhuatiri lemas. - Foto ROSLI ILHAM


PELAJAR tingkatan dua dikhuatiri lemas selepas berenang untuk mengambil bola yang terjatuh ke dalam sungai di Kampung Delong, Dungun, hari ini.

Che Wan Haziq Haikal Che Wan Othman, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Pulut itu dikatakan terkapai-kapai sebelum tenggelam dalam kejadian 6.45 petang.

Sebelum itu, mangsa dikatakan bermain bola sepak bersama lapan rakannya di kawasan berpasir di tebing sungai terbabit.

Bagaimanapun, bola yang ditendang rakannya terjatuh ke dalam sungai dan mangsa terjun untuk mengambilnya.

Mangsa yang berenang untuk mengambil bola, tiba-tiba dia terkapai-kapai sebelum tenggelam.

Rakannya yang melihat keadaan Che Wan Haziq Haikal turut terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkannya namun dia juga hampir lemas.

Bagaimanapun, dia berjaya diselamatkan seorang lagi rakannya yang menggunakan perahu tetapi mereka gagal menemui mangsa yang sudah tenggelam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Amri Mohamad ketika ditemui di tempat kejadian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.01 malam dan tiba di tempat kejadian kira-kira 25 minit kemudian.

Menurutnya, pihaknya segera menjalankan operasi mencari mangsa selepas mendapatkan maklumat mengenai kejadian itu.

Katanya, sehingga 10.30 malam mangsa belum ditemui dan operasi mencari masih diteruskan dengan bantuan anggota polis dan penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 11:40 PM