Liow ketika menlancarkan laporan iRAP 2017. Turut sama Lee (tiga dari kanan) dan Wong (dua dari kiri). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com.my


SEBANYAK 95.5 peratus jalan di empat lebuh raya antara bandar di Semenanjung Malaysia diberi penarafan tiga bintang menerusi Laporan Pusat Kecemerlangan Program Penilaian Jalan Raya (iRAP) 2017 kerana menepati piawaian dan aspek keselamatan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, laporan itu dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang membuat penilaian membabitkan kedua-dua belah arah di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2.

Katanya, secara keseluruhannya, penilaian jalan raya itu membabitkan jarak keseluruhan sejauh 2,370 kilometer (km).

"Laporan ini menunjukkan hasil positif penambahbaikan yang dijalankan dengan usaha sama merentasi pelbagai sektor.

"Ia juga satu petanda bahawa negara sedang berkembang dengan baik dalam mencapai 75 peratus jalan raya tiga bintang ke atas menjelang 2020 nanti," katanya pada Majlis Sambutan 10 tahun MIROS dan pelancaran Laporan iRAP 2017 di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MIROS Tan Sri Lee Lam Thye, Ketua Pengarah MIROS Prof Dr Wong Shaw Voon dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 6:54 PM