Anggota bomba memberi bantuan kepada mangsa cubaan samun di Parit Bunga, Tangkak, Johor. FOTO Ihsan Pembaca
Mohamad Fahd Rahmat


EMPAT beranak termasuk bayi perempuan berusia 11 bulan cedera dalam kejadian cubaan samun di Parit Bunga, Tangkak, Johor, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak Deputi Superintendan Razali Mohd Tahir berkata, dalam kejadian jam 2 pagi, keluarga berkenaan yang menaiki Perodua Kenari dihampiri dua lelaki yang menaiki Proton Iswara.

Menurutnya, ketika kejadian suami isteri masing-masing berusia 32 tahun dan dua anak perempuan mereka berusia lapan tahun serta 11 bulan dalam perjalanan dari Taman Desa Temiang, Muar ke Melaka.

"Sebaik tiba di lampu isyarat Sabak Awor, Muar, pemandu Perodua Kenari menyedari diperhati oleh suspek yang menaiki Proton Iswara dalam keadaan mencurigakan.

"Setibanya di jejambat Parit Bunga, Tangkak, suspek menghimpit kenderaan mangsa menyebabkannya berhenti di bahu Jalan.

"Suspek turut berhenti di laluan kanan jalan dan mengundurkan kenderaan hingga terlanggar pembahagi jalan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemandu Perodua Kenari kemudian memecut laju untuk menyelamatkan diri dan membuat pusingan U di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) menghala ke Muar.

"Tetapi kereta dipandu mangsa bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Mercedes Benz lalu terhenti. Suspek terus meluru ke arah kereta mangsa dan membuka pintu belakang sebelah kiri sebelum berlaku pergelutan,” katanya.

Katanya, orang ramai yang berada di kawasan berhampiran membantu untuk menahan kedua-dua suspek berusia 25 dan 28 tahun terbabit.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan semua mangsa yang mengalami kecederaan dibawa Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 9:27 PM