Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


SEORANG kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di Melaka, terhadap pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada kurator sebuah muzium kira-kira empat tahun lalu.

Tertuduh Mohammad Trevor Mohammad Darby, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pemilik Syarikat Ultra Integrated didakwa memberi dokumen pesanan kerajaan (LO) dan invois berjumlah RM169,500 palsu kepada ejen kerajaan iaitu Kurator Muzium Senibina Malaysia Melaka, dengan niat memperdayakan mengenai kerja-€“kerja membangunkan €œSistem Pameran Berkonsep Sistem Pempamer Holograf€ untuk Muzium Senibina Malaysia, Melaka di pejabat muzium terbabit pada 24 Disember 2013.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurdiyanah Mohd Nawawi, mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan memohon mahkamah menetapkan syarat memegang pasport antarabangsa tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu dibenarkan jaminan yang rendah dengan alasan tidak lagi berkerja tetap dengan hanya menjalankan perniagaan kecil makanan atas talian selain menyara anak masih kecil dan ibu bapa yang sudah bersara.

Tertuduh juga memohon jaminan rendah berikutan berdepan satu lagi pertuduhan membabitkan kes di Mahkamah Sesyen Perak.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Meor Sulaiman kemudian menawarkan tertuduh jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Ogos depan untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam, manakala pasport tertuduh tidak diserahkan kepada mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 1:57 PM
Mohammad Trevor yang tidak diwakili peguam, merayu dibenarkan jaminan yang rendah dengan alasan tidak lagi berkerja tetap dengan hanya menjalankan perniagaan kecil makanan atas talian. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan