Penduduk membaca risalah yang diletakkan pihak kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan selepas kejadian beberapa ekor unggas didapati positif selsema burung (H5N1) di Kampung Pulau Tebu, Tunjong, Kota Bharu pada 9 Mac lalu. FOTO arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


JABATAN Perkhidmatan Veterinar (DVS) umumkan Malaysia bebas penyakit selsema burung (H5N1) mulai 1 Julai lalu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, pengumuman itu dibuat berikutan tiada pengesanan baru penyakit berkenaan selama 90 hari sejak pembasmian kuman yang terakhir dibuat pada 1 April lalu.

Beliau berkata, tempoh 90 hari itu adalah syarat ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) dalam menangani penyakit haiwan.

"Kami sudah menghantar laporan penuh kepada OIE mengenai situasi dan langkah yang diambil bagi membolehkan OIE menyenaraikan Malaysia secara rasmi sebagai negara bebas penyakit H5N1.

"Dengan status Malaysia sebagai negara bebas penyakit selsema burung ini, dijangka negara pengimport seperti Jepun, Indonesia, Sri Lanka dan China akan membuka sekatan eksport sementara yang dikenakan sebelum ini dan membenarkan semula kemasukan ayam, itik dan sarang burung walit dari Malaysia," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Katanya, kes H5N1 dikesan pada 28 Februari lalu di Kampung Pulau Tebu, Mukim Tunjung, Kota Bharu, Kelantan.

Dr Quaza Nizamuddin berkata, tindakan sudah diambil bagi mengehadkan penyakit itu masing-masing di 36 lokasi di enam jajahan iaitu Kota Bharu (15 lokasi), Pasir Mas (enam), Tumpat (lima), Tanah Merah (satu), Bachok (enam) dan Pasir Puteh (tiga).

Menurutnya, jumlah pelupusan di dalam kawasan jangkitan adalah 56,953 ternakan unggas dan 17,531 telur yang dilaksanakan di dalam masa 24 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 5:13 PM