Tai Kam Yin. FOTO ihsan polis
Hazsyah Abdul Rahman
hmkk@hmetro.com.my


POLIS meminta kerjasama orang ramai untuk mengenalpasti waris kepada warga emas yang maut dilanggar kereta ketika melintas di Jalan Buli Sim-Sim berhampiran Pasar Sim-Sim di Sandakan, semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, sehingga kini, mayat Tai Kam Yin, 76, beralamat di Jalan Dua, Bandar Sandakan, masih berada di bilik mayat Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan.

"Sehubungan itu, kami meminta ahli keluarga mendiang atau orang ramai yang mengenalinya supaya menghubungi Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan di talian 089-242254.

“Alamat tertera dalam Mykad didapati alamat lama warga emas itu. Sehingga kini, warisnya belum dapat dikesan," katanya.

Pada kejadian 11.40 pagi semalam, Tai dilanggar Perodua Kenari ketika melintas di Jalan Buli Sim-Sim.

Difahamkan, Perodua Kenari itu dipandu oleh lelaki berusia 35 tahun yang dalam perjalanan dari arah bandar menghala ke Batu 7, Sandakan.

Sebaik tiba di lokasi, warga emas itu tiba-tiba melintas jalan dan akibatnya, dia dilanggar.

Pemandu kereta itu membawa mangsa ke wad kecemasan HDOK Sandakan, namun dia meninggal dunia pada 8.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 6:46 PM