Pemilik MNM Home Whimsical Houses, Profesor Dr Mahamad Tayib (kanan) bersama anaknya di depan rumah senget MNM Home Whimsical House di Kampung Changkat Setol, Changlun, Kedah. - Foto SHARUL HAFIZ ZAM
BERNAMA

JIKA ingin merasai kelainan tinggal di rumah unik dipanggil rumah senget, rumah terbalik atau rumah hobit, datanglah ke Kampung Changkat Setoi, Changlun, Kedah.

Kawasan rumah yang dinamakan ‘MnM Home Whimsical Houses’ menjadi perhatian pengunjung ketika Aidilfitri lalu.

Pemiliknya, Profesor Dr Mahamad Tayib, 60, berkata beliau membina tiga rumah itu sejak hujung 2015 bagi memberi kepuasan untuknya mengekspresi imaginasinya dalam seni reka.


Rumah terbalik. - Foto BERNAMA

“Idea tercetus selepas melawat beberapa rumah terbalik di dalam dan luar negara.

“Memandangkan di Changlun ini belum banyak daya tarikan pelancongan, saya rasa tidak salah membinanya,” kata bekas pensyarah Universiti Utara Malaysia itu.

Dibangunkan di atas tanah berkeluasan 0.8 hektar, daya tarikan lain yang terdapat di perkampungan ini ialah dusun limau bali, mata kucing, rambutan dan durian serta ladang rusa, arnab dan kawasan ternakan madu kelulut.

MnM Home Whimsical Houses juga mempunyai dua inap desa.


Rumah Hobbit yang terletak dalam terowong. - Foto BERNAMA

Sejak tular di media sosial, MnM Home Whimsical Houses menerima kunjungan lebih 200 orang sehari dan dijangka bertambah pada musim persekolahan akan datang.

“Saya mahu pengunjung dapat meneroka kawasan ini dalam keadaan santai, sebab itu kemasukan pengunjung berdasarkan tempahan pada hari biasa dan terbuka pada hari minggu.

“Saya tidak mahu terlalu padat dengan pengunjung kerana akan menghilangkan keseronokan menikmati apa yang ada di sini.

“Bagaimanapun buat masa sekarang, saya terima saja kunjungan tanpa tempahan kerana tidak sampai hati menolak kedatangan mereka terutama yang datang dari jauh,” jelasnya yang turut menerima pengunjung dari Johor dan Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 7:02 PM