Sapiee bersama isterinya, Siti Patonah hidup dalam keadaan daif di Parit Gantung Laut, Batu Pahat, Johor.
Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Seorang bekas pengawal keselamatan bukan saja berdepan kesempitan hidup apabila tinggal di dalam rumah usang, malah turut dihina segelintir masyarakat dengan disifatkan sebagai pemalas kerana tidak bekerja untuk membaiki nasib diri.

Sapiee Kamisan, 59, yang menetap di Parit Gantung Laut, di sini, berkata, dia tidak boleh bekerja sejak dua tahun lalu kerana menghidap kencing manis dan terpaksa berulang-alik ke Klinik Kesihatan Bagan di sini, setiap hari untuk mencuci lukanya.

Menurutnya, walaupun menerima bantuan RM300 sebulan daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Jabatan Kebajikan Masyrakat (JKM) RM150 sebulan sejak dua tahun lalu, namun ia tidak mencukupi bagi membaiki rumahnya.

Katanya, disebabkan itu dia bersama keluarga terpaksa menggunakan tandas tidak berpintu manakala anjung rumah pula berlantaikan tanah.

“Wang bantuan yang diterima digunakan untuk membiayai rawatan mencuci luka akibat penyakit kencing manis dan ia menghalang saya daripada bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Alhamdulillah, saya mempunyai isteri, Siti Patonah Taha, 59, yang penyabar dan turut berusaha mencari jalan untuk meneruskan hidup kami dengan mengambil upah mengurut dengan pendapatan RM20 seorang, namun hasilnya tidak menentu.

“Kami dikurniakan tiga anak dengan anak sulung dan kedua sudah bekerja manakala anak bongsu berusia 22 tahun belajar di tahun kedua jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa dan Linguistik Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor,” katanya.

Menurutnya, anak sulung berusia 29 tahun bekerja sebagai pembantu kedai makan di Hentian Bas Batu Pahat, manakala anak kedua berusia 25 tahun bekerja di Singapura dengan jawatan sama.

Menurutnya, rumah yang didudukinya sejak lapan tahun lalu semakin uzur, namun tidak mampu untuk membaikinya kerana masalah kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 5:23 AM