SUSPEK (tiga kiri) direman tujuh hari. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

[email protected]

LELAKI Myanmar yang dipercayai menikam rakan senegaranya hingga mati di rumah kongsi di Kampung Sungai Durian, Arau, kelmarin direman tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, suspek berusia 23 tahun itu ditahan pada 7.30 malam semalam ketika bersembunyi di dalam belukar berdekatan anak sungai.

Katanya, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar pagi ini untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Suspek direman seminggu sehingga 11 Julai ini bagi membantu siasatan. Perintah itu dikeluarkan Majistret Mohd Azhar Hamzah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, sewaktu ditahan, pihak polis tidak menemui senjata yang digunakan suspek untuk menikam mangsa.

Harian Metro hari ini melaporkan seorang pekerja kebun sayur warga Myanmar maut ditikam rakan senegaranya selepas berselisih faham,

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 3:14 PM