Maklumat palsu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
Maklumat palsu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

POLIS menafikan sebaran maklumat kononnya wujud aktiviti rogol dan penjualan organ dilakukan penuntut UiTM Jengka, Maran Mohd Afiq Rosli yang menjadi tular di aplikasi sosial WhatsApp, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Mazlan Hassan berkata, tiada laporan polis dibuat hingga kini membabitkan jenayah yang dilakukan lelaki berkenaan di daerah Maran.

"Saya sahkan ia palsu (sebaran maklumat yang tular).Saya tidak tahu apa motif ia disebarkan hingga menjadi tular," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Sebaran maklumat itu antara lain meningatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan kegiatan lelaki terbabit yang aktif melakukan kegiatan menjual organ di Malaysia dan sempadan Thailand.

Maklumat yang kononnya diterima dari Bukit Aman itu mendakwa Mohd Afiq turut membunuh 16 wanita dan lima lelaki bagi mendapatkan organ selain bergiat aktif di Bachok, Kelantan.

Difahamkan mesej yang tersebar sejak minggu lalu bertujuan mewujudkan kebimbangan terhadap orang ramai mengenai jenayah rogol dan penjualan organ.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 5:36 PM