Nursyahirah Marzuki


KEMENTERIAN Kesihatan akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat untuk berbincang secara terperinci mengenai pindaan Akta Perubatan 1971.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pindaan itu dibuat untuk memasukkan syarat lulus Bahasa Melayu bagi pengambilan jawatan pegawai perubatan Gred UD41.

"Sebagai permulaan, kita akan membuat perbincangan dengan pentadbiran Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum dibawa ke Jabatan Peguam Negara.

"Selepas itu, kita akan bawa perkara ini untuk dibentangkan di Dewan Rakyat akan datang," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Blok Obstetrik dan Neonalatologi Hospital Putrajaya (HPj), hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Hilmi Yahaya; Ketua Setiausaha Datuk Seri Dr Chen Chaw Min; Ketua Pengarah, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Hospital Putrajaya Datuk Dr Nora'i Mohd Said.

Dalam pada itu, Subramaniam berkata, pihaknya menjangkakan isu doktor siswazah yang tidak memiliki kelayakan lulus subjek Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat diselesaikan dalam masa setahun.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mengumumkan keputusan Mesyuarat Kabinet bersetuju menarik balik kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41.

Terdahulu, Subramaniam merasmikan blok yang diubahsuai daripada asrama jururawat kepada blok Obstetrik dan Neonatalogi di Hospital Putrajaya yang dapat menampung 36 katil untuk pesakit obstetrik dan neonatalogi dan 25 katil untuk Kejururawatan Penjagaan Khas (SCN) bagi memberi lebih keselesaan kepada pesakit selain menampung permintaan yang semakin tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 2:51 PM
S Subramaniam melawat pesakit selepas perasmian. FOTO NurSyahirah Marzuki