ANGGOTA tentera membina 50 khemah sementara untuk mangsa kebakaran. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming
hmkk@hmetro.com.my


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menyumbangkan 50 khemah sementara kepada mangsa kebakaran di Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas, dekat Tawau.

Khemah berkenaan mula dipasang oleh anggota ATM dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di bersebelahan tapak kebakaran di kampung terbabit, mulai semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, ketika meninjau kerja pemasangan khemah itu berkata, kemudahan sementara itu hanya untuk menempatkan mangsa kebakaran dalam kalangan warga tempatan.

Katanya, bagi mangsa bukan warganegara pula, tindakan selanjut akan diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah.

Beliau berkata, kerajaan juga menyediakan pelbagai bantuan lain termasuk kelengkapan persekolahan kepada anak mangsa kebakaran warga tempatan bagi meringankan beban mereka yang berdepan musibah berkenaan.

"Bagi mangsa kebakaran bukan warganegara, bantuan akan disalur melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain bantuan daripada mana-mana pihak yang bersimpati," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa kebakaran di Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas dekat Tawau, hari ini.

Dalam kejadian 3 petang pada Sabtu lalu, 1,500 penduduk tinggal sehelai sepinggang dalam selepas kebakaran yang dipercayai berpunca daripada litar pintas itu memusnahkan lebih 250 buah rumah.

Kebakaran itu membabitkan perkampungan atas air seluas kira-kira 4,590 meter persegi, sebelum api dapat dikawal sepenuhnya pada 5.11 petang.

Berita berkaitan

Hanya mampu laungkan azan

Dua remaja cedera

250 rumah jadi abu

Lebih 20 rumah hangus

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 3:16 PM