Hasanuddin (tengah) memeriksa pil kuda dirampas. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali


POLIS negeri ini merampas 1,000 biji pil kuda dan 41.76 gram syabu bernilai RM17,000 pada serbuan di sebuah rumah di Palekbang, Tumpat, jam 3.30 pagi tadi.

Ketua Polis negeri Datuk Hasanuddin Hassan berkata, serbuan turut membawa kepada penahanan empat beranak termasuk dua wanita dengan seorang daripadanya ibu mereka berusia 20 tahun hingga 59 tahun.

Katanya, serbuan dijalankan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat itu buat hasil maklumat awam dan risikan.

“Pemeriksaan di belakang rumah suspek menemui pil kuda dan syabu yang ditanam di satu lokasi.

“Kami menahan kesemua suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 39B dan 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu depan,” katanya ketika ditemui di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, suspek aktif mengedar dadah sejak tiga bulan lalu di sekitar Wakaf Bharu, Palekbang dan Tumpat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 8:42 PM