Lizam Ridzuan


FORTE Hospitality Management Sdn Bhd, pengendali Hotel Hype Motorsports Nilai, Negeri Sembilan memperkenalkan hotel butik pertama di Asia berkonsepkan dunia permotoran.

Terletak di lokasi strategik di tengah-tengah bandar Nilai, ia menawarkan 75 bilik yang direka unik berkonsepkan permotoran menerusi susun atur kerusi, katil dan paparan grafik.

Ia dihubungkan hanya sejauh 15 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) serta kira-kira 40 minit perjalanan ke ibu kota Kuala Lumpur.

Tiga jenis bilik ditawarkan iaitu Standard, Superior dan Family yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti pendingin udara, kunci pintu dengan kad sentuh, pengesan asap, akses internet Wi-Fi percuma serta televisyen yang lengkap dengan saluran siaran tempatan, saluran permotoran juga jadual harian penerbangan.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia (Promosi) Datuk Sri Abdul Khani Daud serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Forte Hospitality Management Sdn Bhd Johari Mohd Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 11:19 PM
Bilik Hotel Hype Motorsports Nilai yang berkonsepkan dunia permotoran. FOTO Adzlan Sidek