FOTO ihsan Jabatan Imigresen
Fuad Hadinata Yaacob


JABATAN Imigresen Selangor menahan 50 warga asing termasuk seorang lelaki tempatan dalam serbuan Ops Ikrar di tiga kilang di Pulau Indah, Pelabuhan Klang malam tadi.

Operasi dari jam 3.30 petang hingga 8 malam itu dijalankan di kilang pembuatan roti, kilang pemprosesan tepung dan makanan.

Penolong Pengarah Imigresen Selangor, Jaimin Sumpit berkata, sebelum serbuan pihaknya sudah melakukan intipan sejak seminggu lalu.

Beliau berkata, 208 warga asing diperiksa di ketiga-tiga premis berkenaan.

Katanya, daripada jumlah itu 49 orang ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

"Antara kesalahan itu termasuklah warga asing ini tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan menyalahgunakan pas.

"Seorang lelaki warga tempatan yang juga wakil majikan ditahan untuk diambil keterangan," katanya di sini.

Jaimin berkata, ketika pemeriksaan, warga asing itu sedang bekerja dan tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang operasi dijalankan.

"Warga asing yang ditahan ini berusia antara 23 hingga 47 tahun.

"Daripada 49 warga asing yang ditahan itu 47 adalah lelaki dan dua wanita Indonesia manakala 10 dari Bangladesh, 33 dari Nepal, tiga India dan seorang dari Fillipina," katanya.

Beliau berkata, 41 warga asing itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tiada pas sah dan lapan orang lagi mengikut Per 39(b) kerana salahguna pas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2017 @ 10:11 AM