PATI yang ditahan. FOTO ihsan PPM
Mohd Sabran Md Sani


PASUKAN Polis Marin (PPM) Pengerang menahan 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam tiga serbuan Ops Gelora Khas di Hutan Pesisir Pantai Sungai Tengah, Bandar Penawar, Kota Tinggi, hari ini.

Komander PPM Wilayah 2, Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, semua PATI berusia 30 hingga 50 tahun ditahan di kawasan Hutan Pesisir Pantai Sungai Tengah, Bandar Penawar, Kota Tinggi pada 1 pagi.

"Dalam serbuan pertama oleh anggota RH 32, lima individu termasuk seorang lelaki dan empat perempaun warga Indonesia ditahan ketika baru mendarat.

"Serbuan kedua menemui lima lelaki dan dua perempuan Indonesia dan serbuan ketiga menemui lima lelaki warga Indonesia yang mahu pulang ke negara asal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Paul berkata, semua PATI mengaku menggunakan bot pancung dan sudah dua hari berada di dalam hutan di kawasan itu.

Katanya, merka ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri sah dan tinggal di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 11:02 AM