Stor syarikat pajakan dan sewa kenderaan yang kosong ketika tinjauan Harian Metro, hari ini. FOTO Nabihah Kamal
Nabihah Kamal


PENGURUS syarikat pajakan dan sewa kenderaan di Sungai Sekamat, Kajang, membuat laporan polis mendakwa lebih 30 lelaki menceroboh stor syarikatnya sebelum mengeluarkan kira-kira 40 kenderaan dari stor itu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, individu berusia 32 tahun itu membuat laporan polis mendakwa sekumpulan individu dipercayai pemilik kenderaan menceroboh masuk ke dalam premisnya.

"Pekerjanya memberitahu sekumpulan individu dipercayai pemilik kenderaan yang dipajak kepada syarikat itu datang ke stor milik syarikat untuk mengambil kenderaan mereka.

"Mereka juga memasuki kawasan stor tanpa menunjukkan apa-apa notis daripada mahkamah," katanya.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, sekumpulan individu bersama aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) merosakkan kunci mangga dan menceroboh masuk stor.

"Sebanyak 40 kenderaan dari stor berkenaan dikeluarkan tanpa menunjukkan sebarang dokumen kepada pemilik syarikat.

"Hasil siasatan turut mendapati, syarikat itu merupakan syarikat yang menjalankan perniagaan memajak dan menyewakan kenderaan di mana pemilik kenderaan telah membuat perjanjian bertulis dengan pihak syarikat," katanya.

Susulan itu, kes disiasat dibawah Seksyen 447 dan 427 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan perbuatan khianat.

Semalam, seramai 23 pemilik kenderaan yang mendakwa mangsa penipuan syarikat pajakan kenderaan berkumpul di stor berkenaan bagi menuntut semula kenderaan mereka dengan dibantu aktivis PPIM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 7:46 PM