DARI kiri, Zulkarnain,  Mohd Fahmi, Mohd Aziruddin, Raja Badruddin  dan Wan Ansri,      lima sahabat yang bertanggungjawab menghasilkan lukisan mural di bahagian sisi bangunan kedai lama  di Jalan Banggol.
DARI kiri, Zulkarnain, Mohd Fahmi, Mohd Aziruddin, Raja Badruddin dan Wan Ansri, lima sahabat yang bertanggungjawab menghasilkan lukisan mural di bahagian sisi bangunan kedai lama di Jalan Banggol.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: “Sebelum ini masyarakat hanya memandang lekeh kegiatan kami itu, tetapi selepas karya kami tular di media sosial, orang ramai semakin membuka mata malah permintaan untuk mendapatkan khidmat kami meningkat tiga kali ganda berbanding sebelum ini,” kata Mohd Aziruddin Majid, 32.

Mohd Aziruddin, seorang daripada lima pelukis mural yang terbabit menghiasi bangunan di Jalan Kampung Banggol berkata demikian, ketika ditemui pada Program Seni Hias Bandar, semalam.

Menurutnya, sebelum ini dia bersama empat rakan Red Rabel Squad iaitu Raja Badruddin Hakim Raja Kamarul Bahrin, 30, Mohd Fahmi Abdullah Sani, 28, Wan Ansri Nizam Wan Ismail, 34, dan Zulkarnain Abdul Latif, 37, sudah banyak menghasilkan mural di bangunan sekitar Terengganu termasuk di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kampung Cina dan Pulau Redang.

“Bagaimanapun, kehadiran kami mula disedari dan dihargai orang ramai selepas mural kami di bangunan Jalan Banggol ini tular di media sosial pada akhir Ramadan lalu.

“Pelbagai cabaran terpaksa kami lalui sepanjang sebulan proses menyiapkan enam mural pada bangunan itu pada Ramadan lalu termasuk menahan lapar dan dahaga.

“Semua pengorbanan kami itu berbaloi kerana hasil kerja kami dihargai masyarakat di negeri ini, seterusnya menerima banyak tempahan daripada pelbagai pihak termasuk dari Johor dan Negeri Sembilan,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Red Rabel Squad.

Rakannya, Raja Badruddin Hakim berkata, keunikan mural yang dilukisnya dan rakan di Jalan Banggol itu kerana ia dilukis secara manual tanpa bantuan alatan tambahan termasuk projektor.

“Kami hanya melukis mengikut gerak hati dan kebebasan tangan, justeru, terpaksa melalui proses turun dan naik secara kerap dari bangunan itu bagi memastikan lukisan seimbang dan tiada kecacatan.

“Biasanya, bagi lukisan mural di bangunan empat tingkat seperti itu terpaksa menggunakan bantuan projektor untuk mengimbau draf lukisan.

“Memang kami mengalami sedikit kesukaran tetapi berasa puas walaupun tidak menggunakan alatan tambahan seperti itu kerana mural yang dihasilkan tetap menepati piawaian dan kehendak, sekali gus menceriakan pemandangan di bandar raya,” katanya.

Wan Ansri Nizam pula berkata, banyak tawaran yang diterima selepas lukisan mural yang dihasilkan tular di media sosial dan projek terbaru ialah mencantikkan bangunan lama di Kuala Nerus dan Kuala Berang.

“Menghasilkan mural pada bangunan kian mendapat sambutan dan pendapatan juga kian bertambah. Kami mengenakan caj sebanyak RM35 hingga RM40 untuk satu kaki persegi bergantung kepada keadaan bangunan atau tempat yang ingin dihiasi dengan mural itu.

“Biasanya masa yang diambil untuk satu lukisan mural pada satu bangunan selama dua hingga tiga hari dan memberi fokus kepada lukisan kartun berkonsepkan kontemporari,” katanya.

Zulkarnain berkata, selain menerima tempahan dan aktif menghasilkan mural, Red Rabel Squad yang bernaung di bawah Kelab Belia Kreatif dan Inovatif (MANDALIKA) juga membuka peluang kepada orang ramai terutama pelajar sekolah untuk sama-sama mempelajari seni mural itu.

“Sehingga kini seramai 30 pelajar dari pelbagai sekolah termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Razali Ismail dilatih sebagai pelapis pelukis mural di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 12:09 PM