Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendukung Noor Batrisya Ramlan, 2, yang bakal menjalani pembedahan implan koklea bagi memulihkan masalah pendengarannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini. - Foto CHE RANI CHE DIN.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendukung Noor Batrisya Ramlan, 2, yang bakal menjalani pembedahan implan koklea bagi memulihkan masalah pendengarannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini. - Foto CHE RANI CHE DIN.
Shamran Sarahan


TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan sumbangan peribadi serta derma wang orang ramai kepada Noor Batrisya Ramlan, 2, yang bakal menjalani pembedahan implan koklea bagi memulihkan masalah pendengaran kanak-kanak itu.

Sumbangan itu diserahkan beliau kepada ibu bapa kanak-kanak terbabit, Ramlan Abd Hamid, 24, dan Alis Rama Affendi, 23, di Bilik VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, selain sumbangan peribadi beliau, sumbangan itu juga hasil kutipan wang orang ramai melalui inisiatif Persatuan Implan Koklea Sarawak bagi meringankan beban kewangan keluarga itu.

"Saya diberi amanah oleh penderma untuk menyampaikan sumbangan kepada keluarga kanak-kanak berkenaan.

“Ini juga menunjukkan keprihatinan masyarakat kita membantu rakyat yang berdepan dengan masalah penyakit kronik seperti ini," katanya.

Sementara itu, Alis berkata, anaknya yang mengalami masalah pendengaran sejak lahir memerlukan pembedahan implan koklea serta membeli peralatan pendengaran elektronik untuk memulihkan kembali pendengarannya.

"Semua kos pembedahan yang dijangka berlangsung hujung tahun ini memerlukan perbelanjaan RM120,000.

“Sumbangan ini cukup bermakna buat saya dan suami kerana kami tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu," katanya.

Difahamkan sebelum sumbangan hari ini, keluarga itu sudah mengumpul RM67,000 hasil derma orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 11:01 PM