ABU Hasan (kanan) menyampaikan sumbangan duit raya di Majlis Aidilfitri Smart Reader Hari Raya Aidilfitri di Segambut, semalam.

Kuala Lumpur: Kira-kira 100 anak yatim dari Rumah Kasih Harmoni, Pondok Penyayang Raudhah dan Rumah Penyayang Darul Ilmi Gombak diraikan dalam Majlis Sambutan Aidilfitri di Wisma Smart Reader, di sini, semalam.

Majlis itu dianjurkan oleh Smart Reader Worldwide atas kesedaran dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat supaya kanak-kanak terbabit dapat turut sama merasai kegembiraan hari raya.

Penasihat Kehormat Program Islam Smart Reader Kids Datuk Seri Abu Hasan Din al-Hafiz berkata, mereka walaupun anak yatim, berhak bergembira bersama insan yang lain.

“Walaupun hari raya dalam Islam satu hari saja iaitu 1 Syawal, tapi orang Melayu beraya sebulan juga.

“Apa yang disyariatkan dalam Islam, hari raya untuk bergembira. Kalau boleh kita tak nak ada yang bersedih dan berdukacita dalam rangka menyambut hari raya. Maka, atas dasar inilah kita mengundang kanak-kanak ini,” katanya pada majlis itu.

Turut serta Pengetua Kolej Antarabangsa Smart Reader Dr Jeffery J Louis dan Pengarah Pembangunan dan Operasi, Pemasaran dan Publisiti Smart Reader Kalaichelvia Algendra.

Majlis itu diserikan dengan persembahan oleh tenaga pengajar serta kanak-kanak Smart Reader Kids dari beberapa pusat pembelajarannya seperti dari Kepong, Selayang dan Subang Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 7:07 AM