MOHAMMAD (kiri) menyempurnakan majlis Pewartaan Taman-Taman Awam Sebagai Tempat Dilarang Merokok di Taman Awam Batu Buruk. FOTO Nazdy Harun


JABATAN Kesihatan Negeri mengeluarkan 167 notis kesalahan terhadap perokok bawah umur di Terengganu dalam enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Mohammad Omar berkata, jumlah itu adalah antara 1,931 notis kesalahan membabitkan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang dikeluarkan jabatan berkenaan dari awal tahun ini sehingga 30 Jun lalu.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan itu juga sebanyak 1,446 kompaun dikeluarkan dan sebanyak RM325,915 kutipan kompaun dikutip selepas 906 pesalah membuat pembayaran.

Katanya, 185 kes dapat diselesaikan di mahkamah dan 57 daripadanya disabitkan dengan kesalahan membabitkan jumlah keseluruhan denda dikenakan ialah RM12,750 manakala baki 128 kes lagi dibebaskan oleh mahkamah kerana saman kepada pesalah tidak dapat disempurnakan danselebihnya notis serta kompaun belum lagi dijelaskan atau masih dalam proses perundangan.

"Bermula 1 Februari lalu juga, taman awam di seluruh negara diwarta sebagai tempat larangan merokok mengikut peraturan 11(w) dan 11(x) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) Pindaan 2017," katanya ketika sidang media selepas majlis Pewartaan Taman-Taman Awam Sebagai Tempat Dilarang Merokok Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di Taman Awam Batu Buruk, hari ini.

Menurutnya, di seluruh negeri itu terdapat 37 tempat awam yang diwartakan sebagai lokasi larangan merokok dan perlu dipatuhi orang ramai.

"Selain Taman Awam Batu Buruk ini, kawasan yang turut diwartakan ialah di Taman Awam Sura Jeti, Dungun; Taman Rekreasi Jeti, Marang; Taman Rekreasi Teluk Ketapang, Kuala Nerus dan Taman Rekreasi Kuala Berang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 6:42 PM