Anwar Zafran Zamzuri, 19, bersama Nur Sabrina menunjukkan baju T memaparkan lukisan Muhammad Afif Tambi Jiee, 19, yang terkorban dalam tragedi MH17. - Foto MOHD FADLI HAMZAH
Siti A'isyah Sukaimi

DUA lukisan dihasilkan Muhammad Afif Tambi, 19, iaitu mangsa tragedi MH17 dicetak pada baju T dan akan dijual oleh waris bagi mengumpul dana untuk pembinaan Surau Al-Ghazali di Kuching, Sarawak.

Muhammad Afif terkorban dalam tragedi itu bersama ibu bapa, Tambi Jiee, 48, dan Ariza Ghazalee, 46, serta tiga adik iaitu Muhamad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Muhamad Afruz, 13.

Sepupu Allahyarham, Nur Sabrina Irwan Zulkarnain, 20, berkata, ahli keluarga menemui lukisan berkenaan dalam bilik Muhammad Afif iaitu di rumahnya di Kuala Lumpur.

"Kami mengemas rumah keluarga allahyarham beberapa hari selepas tragedi MH17 dan menemui lukisan berkenaan. Sebelum ini, sepupu saya pernah berkongsi gambar lukisan itu kepada kami.

"Lukisan ini dihasilkan kira-kira dua bulan sebelum dia sekeluarga berlepas ke Amsterdam," katanya yang ditemui pada majlis memperingati MH17 di sebuah hotel di Putrajaya, hari ini.

Nur Sabrina berkata, baju T berkenaan dijangka dijual minggu depan dengan harga RM65 dan RM75.

"Baju itu dijual melalui laman web www.suraualghazali.org dan setiap pembelian disalurkan bagi pembinaan surau berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 7:07 PM