KEADAAN rumah pekerja yang musnah dalam kebakaran. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi


PEKERJA asing warga Indonesia melecur selepas rumah pekerja dihuninya musnah dalam kebakaran di Kampung Labuk Bagiang, Serusup, Tuaran, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.10 tengah malam, lelaki berusia 31 tahun itu melecur pada bahu kanan dan dirawat di Hospital Tuaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Asnan Led berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.15 tengah malam sebelum dua jentera dengan kekuatan sembilan anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, anggota bomba yang tiba 14 minit kemudian mendapati api marak dan memusnah sebuah blok rumah membabitkan 10 pintu yang dihuni lebih 20 pekerja ladang ayam.

MANGSA melecur pada bahu kanan ketika cuba menyelamatkan diri. FOTO Recqueal Raimi

"Seorang pekerja yang menyelamatkan diri melecur di bahu kanan dan diberi rawatan awal oleh anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Tuaran," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Asnan berkata, api dikawal pada 1.30 pagi.

"Anggaran kerugian dan punca kejadian masih masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 10:49 AM