Jenazah Muhamad Al Fateh (gambar kecil) dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Raja, semalam.
Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Ya Allah... hebat sungguh ujian buat hambamu... semoga aku tabah menjalaninya,” demikian luah ibu angkat Muhamad Al Fateh Abdullah, 21 bulan yang meninggal dunia kelmarin dipercayai akibat didera dalam status di laman sosial Facebook (FB) miliknya, pada 11 Jun lalu.

Wanita berusia 34 tahun itu turut memuat naik gambar kanak-kanak itu dan luahan hatinya mengenai Muhamad Al Fateh yang dihina orang sekeliling, selain dibuang ibu kandungnya pada 11 Januari lalu.

“Bersabarlah wahai sayang, walaupun kau dibuang ibu kandung sendiri, dihina orang sekeliling, tetapi aku akan cuba melindungi kau.

“Maafkan aku jika ada kekurangan yang tidak dapat aku tunaikan dalam kesibukan, padahal aku sendiri... semoga Allah SWT melindungi kau wahai anak yang tidak berdosa,” katanya.

Muhamad Al Fateh yang disyaki didera keluarga angkatnya meninggal dunia jam 12.45 tengah hari kelmarin ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, pihaknya menunggu laporan bedah siasat sebelum membuat sebarang kenyataan berkaitan.

“Berikutan itu, dua suspek yang juga ibu dan bapa angkat kanak-kanak itu direman sehingga Khamis (semalam) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Dalam pada itu, akibat keletihan dan terkejut menyebabkan ibu kandung mangsa dikenali sebagai Nur, 22, dipapah selepas menziarahi jenazah anak kandungnya di Unit Perubatan Forensik HSNI, di sini, jam 3 petang semalam.

Nur berkata, dia dan suami berada di pekarangan unit berkenaan sejak jam 10 pagi untuk menunggu perkembangan bedah siasat mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 12:20 PM