GAMBAR hiasan
Ibrahim Isa
ibrahim_isa@hmetro.com.my


PENGURUS syarikat swasta meninggal dunia selepas tercekik kuih koci ketika minum di gerai di Jalan Nong Chik, Johor Bahru, 10.30 pagi hari ini.

Mohd Samsi Sapan, 56, yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Mersing, baru pulang daripada

menziarahi jenazah bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohd Ali Hassan di Taman Nong Chik.

Allahyarham meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, ketika kejadian, lelaki itu minum bersama tiga rakannya.

Katanya, tiba-tiba ketika memakan kuih koci mangsa tercekik dan tidak boleh bernafas menyebabkan rakannya membawanya ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke HSA.

"Mangsa disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

"Pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah atau khianat dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 6:43 PM