Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Keras kepala dan tidak gentar dengan tindakan pihak berkuasa. Itu gambaran terhadap sikap peniaga haram warga asing yang terus menjajah kawasan sekitar pasar Borong Kuala Lumpur di sini.

Mereka tidak hanya mengganggu lalu lintas malah turut membuka berpuluh khemah perniagaan haram di kawasan itu.

Susulan aktiviti haram itu, sepasukan 70 anggota membabitkan Penguat Kuasa Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL), Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur melakukan operasi bersepadu di kawasan itu jam 2 petang semalam.

Tindakan tegas diambil pihak berkuasa dengan menyita 25 khemah perniagaan bersama barangan jualan milik peniaga warga asing terutama Bangladesh dan Myanmar.

Jurucakap Penguatkuasa DBKL berkata, pihaknya kerap menerima laporan dan aduan berhubung masalah dibawa peniaga dan penjaja warga asing di sekitar pasar borong dan Pusat Bandar Utara di sini.

Menurutnya, bilangan peniaga haram di kawasan itu semakin meningkat sekali gus menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah.

“Hampir setiap hari kami menerima 10 aduan berkaitan masalah kebersihan dan lalu lintas di kawasan berkenaan.

“Kami melakukan pemantauan dan risikan bagi memastikan operasi ini berjalan dengan lancar. Dalam operasi ini kami mengambil tindakan terhadap 25 penjaja haram warga asing,” katanya.

Beliau berkata, warga asing terbabit diambil tindakan mengikut kesalahan Undang-undang Kecil (UUK) 3(1) Undang-undang Kecil Perlesenan Penjaja 2016 iaitu bertindak sebagai penjaja tanpa lesen (bukan warganegara).

“Dalam operasi ini juga pihak JIM melakukan pemeriksaan terhadap 48 warga asing. Lima lelaki warga Myanmar ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2017 @ 8:12 AM