MOTOSIKAL mangsa remuk selepas terbabit kemalangan, kelmarin.
Mohd Sabran Md Sani


Batu Pahat: Seorang pelajar berusia 17 tahun maut manakala tiga yang lain cedera selepas empat kenderaan terbabit kemalangan di Kilometer 30.5, Jalan Kluang-Ayer Hitam, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, nahas berlaku kira-kira jam 9.30 malam itu mengakibatkan mangsa, Mohamad Haziq Asraf Mohd Azman yang menunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dari Ayer Hitam ke Parit Raja memotong van kawalan keselamatan yang berada di hadapannya dan memasuki lorong bertentangan.

“Ketika itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah bertentangan tidak sempat mengelak sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggang mangsa.

“Akibat daripada pelanggaran itu, MPV berkenaan terbabas dan berlanggar dengan kereta Perodua Kancil,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu mengakibatkan mangsa parah meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian.

“Tiga mangsa yang cedera termasuk pemandu kereta Perodua Kancil, Azrul Hanif Johanis, 21, dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 6:19 AM