STATUS terakhir dimuat naik Azman tiga hari sebelum kemalangan.
LOKASI kejadian membabitkan kemalangan maut antara dua kereta di Kilometer 15.7, NKVE arah utara, semalam.
Norizuan Shamsuddin


Petaling Jaya: “Hidup ini satu pengembaraan yang akan menemui destinasinya. Maka di sanalah kita akan berjumpa dengan pencipta maha agong,” itulah status terakhir dimuat naik di laman sosial Facebook oleh Pegawai Pemerintah 93 Depoh Pusat Peluru Kem Mempaga, Kolonel Azman Abd Rashid, 58, tiga hari sebelum terbabit dalam kemalangan maut, semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi, mangsa yang juga pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) maut sejurus kereta dinaiki berlanggar dengan kenderaan dipandu melawan arus di Kilometer 15.7 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah utara, di sini.

Sepupu mangsa, Jeneral Datuk Mohd Razif Idris ketika ditemui berkata, kejadian dipercayai berlaku sewaktu mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Beruntung, Selangor.

“Dia adalah sepupu, rakan satu sekolah dan ‘anak buah’ saya sewaktu bertugas di kem berkenaan sebelum saya berpindah ke Markas ATM.

“Difahamkan dia jarang memuat naik status di Facebook dan kenyataan itu yang pertama serta menjadi yang terakhir ditulisnya pada tahun ini.

“Sebelum itu, arwah ada berpesan meminta saya menguruskan jenazahnya jika dia pergi dulu. Malah, dia turut akan melakukan perkara sama terhadap saya,” katanya.

Razif berkata, dia tidak menyangka perkara itu menjadi pesanan dan amanat terakhir daripada Azman.

Katanya, arwah seorang yang berdedikasi dalam melaksanakan tugas dan peramah, selain disenangi semua anggota dan pegawai.

“Arwah sudah 37 tahun berkhidmat bersama Tentera Darat dan dia yang berusaha keras membawa pasukan kem 93 yang asalnya di Batu Arang, Selangor berpindah ke Mempaga, Bentong, Pahang, pada 2012.

“Arwah meninggalkan isteri, Zaubidah Salleh, 56, dan tiga anak perempuan.

“Difahamkan, selepas selesai bedah siasat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) jenazah akan disembahyangkan di Kem Batu Kentonmen sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam di Bukit Beruntung, Selangor,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintenden Ali Thamby ketika dihubungi mengesahkan kemalangan maut membabitkan pegawai kanan tentera itu.

Katanya, siasatan dilakukan di lokasi mendapati kemalangan membabitkan dua kereta.

“Siasatan awal mendapati kereta Mercedes dipandu lelaki berusia 25 tahun melawan arus sehingga menyebabkan kenderaan mangsa tidak dapat mengelak dan berlaku kemalangan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Mercedes cedera parah.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 6:22 AM