TERTUDUH di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Helmy Abd Rahman


DUA sahabat lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini selepas didapati bersalah atas dakwaan meminta rasuah berjumlah RM71,000 daripada seorang lelaki.

Hakim Mohamad Haidar Abd Aziz mengarahkan hukuman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu dijalankan serentak mulai tarikh sabitan hari ini.

Namun, bagi tertuduh pertama, [email protected], 47, yang bekerja sebagai juruteknik, hukuman sebat dijatuhkan sebanyak 10 sebatan manakala tertuduh kedua, Mohamed Fauzi Hashim, 44, seorang penyelia ais, sembilan sebatan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara Julai hingga September 2011 di sekitar Kemaman dengan meminta wang daripada Yusof Ab Ghani, 52.

Kedua-dua tertuduh didakwa meminta wang secara berperingkat dalam jumlah antara RM1,500 hingga RM22,500 bagi setiap transaksi sebelum ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 16 Ogos 2015.

Wang itu dikatakan untuk diberikan kepada Pegawai Jabatan Kimia dan Timbalan Pendakwa Raya bagi menutup kes anak lelaki Yusof yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Amer Abu Bakar Abdullah, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 4:37 PM