KIMIA Ephederine yang dijadikan bahan asas utama bagi menghasilkan dadah syabu dirampas.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Galak seludup ‘ibu syabu’ membabitkan ubat batuk dan pil selesema terutama dari Korea, India serta China untuk diproses menjadi dadah.

Itu antara kegiatan berterusan sindiket makmal dadah tempatan dan Singapura yang dikesan terus aktif menghasilkan dadah syabu menggunakan kimia Ephederine diperoleh dari dua ubat berkenaan.

Ini terbukti susulan rampasan lebih 9 kilogram kimia Ephedrine milik sindiket makmal dadah ditumpaskan polis di Johor Bahru, Johor, Selasa lalu.

Serbuk kimia Ephedrine dianggap bahan asas (prekursor) wajib bagi menghasilkan dadah syabu berkualiti tinggi.

Sumber berkata, sebanyak 150,000 pil selesema atau ubat batuk boleh diproses menjadi enam kilogram syabu dijual mencecah harga RM100,000 bagi setiap kilogram.

“Pendapatan lumayan melalui penghasilan syabu dalam skala besar menjadi punca kegiatan ini gagal dibenteras sepenuhnya.

“Kimia Ephederine ini biasanya akan dicampur dengan pelbagai kimia lain seperti acetone, kloroform dan hidroklorik sebelum dimasak dan melalui proses penyulingan. Hanya golongan ‘cef’ dadah berpengalaman yang berupaya menghasilkan dadah syabu,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan ‘tukang masak’ dadah syabu ini belajar kaedah mengadun dan memproses syabu menggunakan pil selesema dan pelbagai kimia lain melalui internet.

Dia berkata, pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis termasuk Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik STING Bukit Aman bekerjasama dengan Pengurus Sistem Pengurusan Integrasi Kawalan Efektif Substan (SPIKES) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang salah guna ubat batuk dan selesema ini.

Selain itu Ephederine turut dikaitkan penggunaannya bagi melangsingkan tubuh selain didakwa mampu memecahkan lemak.

Selasa lalu, pihak Pasukan Khas Taktikal Dan Risikan Narkotik (Sting) Bukit Aman berjaya membongkar kegiatan makmal dadah syabu didalangi warga Singapura di Johor selain merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM6 juta selain sejumlah besar kimia Ephederine.

Polis turut merampas empat pistol, 140 peluru hidup dan bom tangan milik penjenayah.

Sebelum ini pihak kastam dan PDRM pernah merampas lima juta biji pil selesema yang cuba diseludup melalui tol Bukit Tagar, Lebuhraya Utara-Selatan, Selangor bagi menghasilkan dadah syabu bernilai RM630 juta.

Hasil serbuan itu, dua lelaki warga Singapura dan Taiwan serta dua lelaki warga tempatan berusia 40 hingga 50 tahun turut ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 12:32 PM