Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Seri Mustafar Ali.
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


JABATAN Imigresen Malaysia dalam proses mewartakan i-kad sebagai pengenalan diri sah untuk pelajar asing yang menuntut di institusi pengajian tinggi berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata, melalui pewartaan itu, i-kad pelajar asing boleh digunakan sebagai pengenalan diri selaras dengan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"i-kad untuk pelajar asing ini akan diperkenalkan dengan format baru dan ciri keselamatan yang dipertingkatkan bagi mengelakkan pemalsuan serta salah guna.

"Kita sedang memuktamadkan format i-kad untuk dimasukkan sebagai sebahagian daripada draf Peraturan-Peraturan Imigresen (Pindaan 2017) melalui Bahagian Hal-Ehwal Imigresen Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, i-kad format baru itu juga akan dilengkapi cip biometrik versi baru dan nombor pengenalan diri kekal supaya diiktiraf oleh semua agensi penguat kuasaan di negara ini.

"Penggunaan i-kad ini adalah sebagai pengenalan diri pelajar asing, tetapi bukan pengganti pengenalan diri yang mutlak kepada pasport.

"Bagaimanapun, KDN menegaskan semua agensi penguat kuasa undang-undang untuk menerima i-kad pelajar asing ini sebagai kad yang sah pengganti kepada pasport," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 10:21 PM